PENGENALAN

Berpadi merupakan salah satu kegiatan yang biasa dilakukan oleh komuniti petani sejak dari dahulu kerana padi merupakan sumber kehidupan kepada masyarakat di Negara Brunei Darussalam. Aktiviti penanaman padi memainkan peranan yang amat penting bagi meningkatkan taraf kualiti kehidupan rakyat dan menjana perekonomian negara.  

Apabila zaman semakin moden, aktiviti berpadi secara tradisional semakin kurang dilihat kerana terdapat pelbagai alat teknologi canggih (mesin) telah dicipta bagi memudahkan dan mempercepatkan proses penanaman padi terutama sekali ketika aktiviti penuaian (mengatam padi). Mengatam padi ialah proses memisahkan padi yang telah matang dari batangnya dengan menggunakan satu peralatan teknologi khas untuk memotong sebelum ia dileraikan menjadi beras.

Blog ini hanya akan memfokuskan proses dan teknologi yang digunakan ketika mengatam padi di Ladang Padi Bunga Cawan, Kampong Limau Manis. Ladang padi tersebut berkeluasan 50 hektar dan diusahakan seramai  23 orang yang terdiri daripada komuniti petani Kampong Limau Manis dan Kampong Junjungan.

Tapak Ladang Padi Bunga Cawan merupakan salah satu daripada usaha Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi meningkatkan lagi ekonomi Brunei dan pendapatan sara hidup petani. Hasil padi yang diperolehi akan di jual dan dibeli oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan daripada petani dengan kadar harga yang telah ditetapkan. Pada tahun 2017, sebanyak $160,544.00 hasil pengeluaran padi yang telah diusahakan oleh komuniti tersebut (Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, 2017). 

Peta lokasi Ladang Padi Bunga Cawang, Kampong Limau Manis/Junjungan


Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan terus komited untuk memastikan sektor pertanian menjadi salah satu penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.


Perkara ini sesuai dengan pelan strategik Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (2016-2020) iaitu untuk meningkatkan lagi produktiviti melalui penggunaan teknologi moden sektor pertanian. Ini juga selaras dengan Visi Kementerian iaitu “Ke arah pertumbuhan kepada pertumbuhan ekonomi demi mencapai wawasan Brunei 2035”.Sementara itu, misi Kementerian ini pula adalah “Menerajui pertumbuhan keluaran Industri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan untuk menjadi penyumbang yang signifikan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan menggalakkan pelaburan dari dalam dan luar negara, dan dengan memberi penekanan kepada peningkatan produktiviti, penggunaan teknologi tinggi, serta memfokus kepada pasaran eksport”


No comments:

Post a Comment

MODULE PB-2301